Senin, 29 Maret 2010

Sekadar coretan


Sekadar coretan

Puisi yang tiada bahasa tiada memberi rasa. Puisi perlu jiwa. Mendramakan kehidupan. Kehidupan yang dilalui manusia dan rencahnya. Puisi memerlukan cakrawala untuk mengindahkan. Memerlukan alam untuk berbicara. Memerlukan pelangi untuk mewarna. Indahnya bait bait. Dan bait bait itulah pelangi. Dan melihat pelangi itu terkadang amat teruja … Dan pelangi itulah cinta sebahagian manusia. Indah. Tak tergapai dan tak tersentuh walau kepingin mendapatkannya! Begitulah alam mengajar kita kecewa! Aduhai …..

Tertusuk jiwa ini.Tergamam perasaan ini. Apabila cinta memungkiri niatnya. Tika itu tergambar siang tiada mentari. Terlihat malam kehilangan purnama. Terasa syurga kehilangan bidadari!

Memang puisi tempat jiwa berlari. Melarikan rindu dari rindu. Puisi tidak dapat menyelesaikan hidup sang manusia. Tidak dapat melengkapkan jiwa sang pencinta. Sebab itulah hukumnya. Puisi hanya curahan hati dan hiburan para da’i apabila penat membimbing manusia.

Da’i juga manusia. Cinta sebahagian juzuk hidupnya. Cinta para da’i adalah Memberi. Terus menerus memberi. Memang selamanya begitu. Menerima? Selalunya tidak. Atau mungkin. Hanya mungkin. Sesuatu yang tak pasti. Boleh juga pasti. Atau da’i itu menjadi ujikaji. Dari seseorang yang mungkin tak punya hati. Oh mata … Menitis airmata.

Da’i tidak suka berjanji. Begitu juga pencinta sejati. Da’i mencintai seseorang kerana sanggup memberi. Memberi hatinya. Memberi hartanya. Memberi dakwahnya. Memberi perjuangannya. Memberi segalanya. Untuk dikongsi. Agar Cinta itu dapat dirasai sepanjang ranjau perjalanan.

Sesungguhnya memberi itu melahirkan kebersamaan.

Cinta adalah seni menghidupkan hidup. Bukan untuk diletak didasar hati atau dikunci dan disimpan tanpa ketahuan.

Cinta itu bak dua telapak tangan. Satu kotor. Sebelah lagi membantu menyucikan. Barulah basahnya cinta. Bukan cinta yang kering . Cinta teori yang terasing. Antara kalimah dan perbuatan. Cinta itu lembut penuh kelembutan. Didalamnya ada erti tolak ansur, memahami dan saling kasihan.

Cinta adalah komitmen jiwa. Tanpanya, cinta adalah angka angka kosong yang tiada makna. Lantas lahirlah ayat ayat Cinta. ” Ana cinta pada dakwah’ Tapi tiada jiddiyah terhadap dakwah. ” Ana cinta pada Allah” Tapi meninggalkan hak hak Allah dan peraturannya. ” Ana cinta pada Rasul ” Tapi meninggalkan perjuangannya. ” Ana cinta pada anta/anti kerana Allah”. Tapi mengunci bisukan perasaannya dan meletakkan syarat yang tidak ada tolak ansur lantas tiada pilihan lagi baginya…. Aduh! Zalimnya manusia!

0 komentar:

Posting Komentar

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More